Sunday, April 18, 2010

Fwd: Pembangkang ketandusan modal

Pembangkang ketandusan modal

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SAIFUL HAIZAN
pengarang@utusan.com.my

HULU SELANGOR 17 April - Para pemimpin UMNO menyifatkan pendekatan pakatan pembangkang menggunakan isu Apco sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor mulai hari ini sebagai bukti pakatan itu tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai kerajaan negeri kerana ketiadaan isu khususnya program untuk membangunkan Selangor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembangkang hanya bergantung kepada isu nasional sedangkan sepatutnya, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mentadbir negeri termaju di negara ini, mereka seharusnya tampil dengan isu tempatan bagi membolehkan rakyat menilai hala tuju pentadbiran.

Tegasnya, agak ganjil dan pelik kerana sebagai sebuah kerajaan negeri, pembangkang tiada isu yang boleh diketengahkan untuk membangunkan Selangor sebaliknya ghairah pula hendak berkempen mengenai Apco sedangkan kerajaan telah menjelaskan bahawa syarikat itu tiada kaitan dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Isu ini tidak akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kerana pengundi di sini sangat memahami siapa yang mampu memberi kesejahteraan dan pembangunan kepada mereka.

"Pembangkang dipercayai hendak membuat laporan polis di semua balai polis di Hulu Selangor berhubung isu Apco ini semalam tetapi ia tidak berlaku dan kita juga dapat lihat sesi ceramah yang dijalankan mereka juga gagal mendapat sokongan," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai isu Apco yang dipercayai akan menjadi senjata utama pembangkang untuk menyerang BN pada kempen pilihan raya kali ini ketika ditemui semasa proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mempunyai fakta yang kukuh untuk mematahkan niat jahat pembangkang yang cuba menanam kebencian khususnya di kalangan pengundi Melayu dengan mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan One Israel melalui Apco.

Tegasnya yang juga Naib Presiden UMNO, BN juga tidak bimbang dengan isu tersebut kerana jelasnya pembangkang yang kini tertekan ekoran pelbagai masalah yang timbul dalam pakatan tersebut.

"Isu yang dibawa ini isu nasional tetapi pendekatan kita ialah memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat yang masih memerlukan pembangunan.

"Buktinya kita telah dapat lihat sebelum pilihan raya bermula lagi apabila Perdana Menteri melancarkan program Juara Rakyat di Bukit Sentosa dan memberi kelulusan segera bantuan bagi memulihkan pangsapuri penduduk yang uzur sedangkan pembangkang tiada melakukan apa-apa," jelasnya.

Manakala, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula berkata, pendekatan pembangkang yang mahu menggunakan isu tersebut sebagai senjata adalah perbuatan hipokrit kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya dakwa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempunyai lebih ramai kenalan berbangsa Yahudi.

"Bukan kita tak tau siapa Anwar dan siapa rakan-rakannya. Dia lebih ramai kenalan Yahudi, nasihat saya, tak payahlah jadi hipokrit kerana rakyat sekarang sudah bijak.

"Meraka nak burukkan kerajaan melalui isu Apco tetapi siapa yang banyak membantu bangsa Palestin dan menentang Israel? Kita, kerajaan BN dan bukannya Anwar," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata Apco bukannya satu syarikat milik Yahudi ataupun berpangkalan di Israel.

Sebaliknya, kata beliau, Apco ialah sebuah syarikat antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai 51 penasihat antarabangsa dan membuka pejabat di 29 buah negara.

"Dia bukan memberikan nasihat tentang dasar negara, dia hanya memberikan nasihat komunikasi kepada dasar-dasar yang telah kita lakukan untuk menembusi jaringan komunikasi peringkat dunia bagi semua kementerian.

"(Agensi) perhubungan awam kita tidak mampu membuat perkara itu, oleh kerana Apco ada pejabat di 29 buah negara dia mempunyai keupayaan," katanya.


No comments:

Post a Comment