Monday, April 26, 2010

PERJUANGAN BANGSA UNTUK EKONOMI MALAYSIA


Sejak dua minggu yang lalu, saya telah mengadakan lawatan berturut-turut ke luar negara: Vietnam, Amerika Syarikat dan akhir sekali Jepun. Kesemua lawatan ini sememangnya penuh dengan kesibukan namun sangat berhasil, dan saya amat gembira kerana tidak kembali ke Malaysia dengan tangan kosong seperti mana yang saya tekankan di bawah ini.


Tempat persinggahan pertama saya ialah Hanoi di mana saya telah menyertai Sidang Kemuncak Ke-16 ASEAN. Di samping menerima kenyataan bersama berhubung perubahan cuaca dan pemulihan dan pembangunan yang terjamin, kami komited untuk meningkatkan kerjasama serantau. Selain daripada Sidang Kemuncak, saya juga sempat berbincang tentang isu-isu seperti perdagangan dan pelaburan dalam pertemuan dua hala saya dengan Nguyễn Tấn Dũng, Perdana menteri Vietnam, dan telah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara AirAsia dan VietJetAir dalam usaha memulakan satu sistem penerbangan kos rendah. Saya juga sangat tertarik dengan kehadiran sejumlah syarikat Malaysia yang berniaga di Vietnam.


Saya tinggalkan Asia menuju Washington, DC, dan Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang dipengerusikan oleh Presiden AS, Presiden Barack Obama yang mana saya berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala buat kali pertamanya. Seperti yang saya maklumkan kepada para hadirin yang menghadiri forum CSIS berkaitan hubungan AS – Malaysia (yang mana saya telah menyampaikan ucapan dasar), bahawa Presiden AS sangat berminat untuk terlibat semula dengan Malaysia dan berharap untuk menjalinkan satu hubungan yang bermakna dan berhasil.


Juga antara yang terpenting dalam agenda saya ialah perdagangan dan pelaburan. Saya telah bertemu dengan peneraju-peneraju perniagaan dan telah berucap kepada para eksekutif yang menghadiri "Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan: Peluang-peluang Pelaburan" (yang dihoskan oleh Dewan Perniagaan AS). Saya mempelawa lebih banyak pelaburan AS dalam sektor-sektor seperti tenaga boleh baharu dan teknologi hijau (dua bidang pertumbuhan sasaran), dan menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan mereka dari AS.


Mesej yang diterima daripada sektor swasta di Amerika adalah positif: mereka ingin menambah pelaburan mereka di Malaysia, terutamanya dalam bidang-bidang yang dapat menyediakan peluang pekerjaan yang tinggi kepada rakyat Malaysia.


Pada lewat minggu tersebut, saya kembali ke kota raya yang kali terakhir saya lawati iaitu pada akhir November 2009: New York. Saya telah menyampaikan satu ceramah kepada Persatuan Asia. Saya telah menzahirkan di situ azam saya untuk menjayakan kedua-dua Model Ekonomi Baharu dan inisiatif 1Malaysia.


Saya meninggalkan negara Amerika Syarikat untuk menyambung lawatan ketiga dan terakhir saya ke Jepun: rakan kongsi strategik dan sahabat lama. Di Tokyo, saya dan Perdana Menteri Yukio Hatoyama bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kami ke arah perbatasan baharu. Komitmen baharu meliputi pengukuhan kerjasama dalam alam sekitar dan tenaga di bawah "Inisiatif Malaysia-Jepun untuk Alam Sekitar dan Tenaga" (saya kemudiannya melawat Loji Kitaran Semula JFE untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknologi hijau); menubuhkan Universiti Malaysia-Jepun; dan meningkatkan kerjasama bagi menggalakkan proses damai di Timur Tengah.


Dalam pertemuan dengan komuniti perniagaan di Jepun, saya telah melahirkan harapan supaya mereka melabur di Malaysia, dan telah memberikan garis panduan tentang langkah-langkah yang sedang kita laksanakan untuk memperlihatkan pendirian kita yang menyokong perniagaan. Malahan, selepas menerima anugerah doktor kehormat daripada Universiti Meiji, saya telah menekankan bahawa Jepun boleh memainkan peranan utama dalam transformasi kita kepada ekonomi inovasi.


Sepanjang perjalanan lawatan ini, saya tetap berpegang teguh dan jelas tentang satu mesej: bahawa Malaysia sudah bersedia untuk satu transformasi dalam ekonomi dan pertumbuhannya sebagai sebuah negara. Jangan salah anggap, sungguhpun kita kekal setia kepada nilai-nilai kita sebagai rakyat Malaysia, kita juga mesti bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih berat, bukan sekadar terawang-awang dalam persekitaran yang semakin mencabar tetapi cemerlang di dalamnya. Sokongan anda sebagai rakan senegara yang inginkan satu transformasi yang berjaya sangat berharga kepada pentadbiran saya dan diri saya sendiri apabila kita meneruskan usaha untuk kebaikan rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment